5.1 Idea Gagasan Malaysia
Tempoh antara 1957 hingga 1963 merupakan tempoh genting dan dramatik dalam konteks kemerdekaan Tanah Melayu serta penubuhan Malaysia. Malah jika diteliti secara mendalam mengenai hasrat menubuhkan Malaysia, maka ia hanya bermula pada 1961 dan ini bermakna, kewujudan Malaysia secara relatifnya dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Dalam tempoh kira-kira kurang dari tiga tahun, perancangan mengenai Malaysia berjaya dilaksanakan.
Perkembangan dalam era 1960-an melihat British telah merancang masa depan membabitkan wilayah-wilayah yang dikuasainya iaitu Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak. Pembabitan wilayah Borneo dengan perancangan British mempunyai kaitan langsung dengan usaha Tanah Melayu untuk mewujudkan Malaysia yang juga membabitkan Singapura. Perdana Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman secara terang-terangan mengatakan bahawa Singapura akan dimasukkan ke dalam perancangan Malaysia dengan syarat wilayah Borneo dibawa bersama. Dalam masa yang sama, disebalik minat Tanah Melayu terhadap Malaysia serta hasrat dan keinginan British, satu realiti yang diakui oleh British terutama di Colonial Office pada dasarnya bersetuju bahawa masa depan wilayah Borneo bergantung kepada perkaitannya dengan sebuah persekutuan yang besar. Selain itu, Tan Tai Yong (2008) ada menyatakan bahawa gabungan antara wilayah Borneo dengan Singapura dan Tanah Melayu juga tidak akan berjalan secara “straight forward” kerana perbezaan-perbezaan yang wujud dalam kadar pembangunan mahupun perbezaan-perbezaan sosial dan ekonomi yang ketara antara wilayah-wilayah tersebut hingga menyebabkan satu usaha dan perancangan yang teliti perlu dilakukan bagi memastikan perbezaan-perbezaan ini tidak menjadi satu halangan.
Ketika pegawai-pegawai di Colonial Office bercakap dan menyebut mengenai pemerintahan sendiri terhadap Sabah dan Sarawak, pegawai-pegawai British di Sabah dan Sarawak pula mempunyai pandangan yang berbeza dimana berdasarkan pandangan dan pengalaman, mereka menyatakan bahawa penduduk masih tidak bersedia terhadap perubahan politik. Malahan mereka mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak masih memerlukan kira-kira 15 hingga 20 tahun sebelum perubahan dapat dilakukan. Kedua-dua wilayah juga masih berharap untuk kekal sebagai Crown Colonies dan dalam masa yang sama akan membangunkan politik secara beransur-ansur. Wilayah-wilayah di Borneo dirasakan sebagai wilayah yang “vulnerable” terutama ancaman dari China, Indonesia dan Filipina.
“If the British moved out, it was likely that both North Borneo and Sarawak would not survive as viable states on their own and the political vacuum would inevitably invite intervention for these neighbouring powers”
(Tan Tai Yong,2008 hlm 152)
5.1 Idea Gagasan Malaysia
Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman telah membuat satu ucapan penting dalam satu majlis makan tengah hari kepada Persatuan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura. Dalam ucapan tersebut, Tunku mencadangkan supaya Tanah Melayu digabungkan dengan Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah persekutuan yang dinamakan Malaysia. Penyertaan ketiga-tiga wilayah tersebut ke dalam Persekutuan Malaysia akan mewujudkan sebuah kerajaan pusat yang kuat dan wilayah-wilayah itu pula dapat mencapai kemerdekaan. Ucapan ini disifatkan sebagai titik permulaan yang sangat penting kepada pembentukan Malaysia. Tunku berpandangan, Tanah Melayu yang telah merdeka tidak sewajarnya bersendirian dan terasing. Jalinan kerjasama dan persefahaman dengan negara-negara serumpun seperti Singapura dan negeri-negeri wilayah Borneo perlu diwujudkan dalam sebuah gagasan, demi kestabilan politik dan ekonomi. Pada masa yang sama, ikatan itu mampu menjadi benteng yang berkesan untuk membanteras ancaman komunis. Ucapan Tunku,
"Tanah Melayu sebagai sebuah negara sedar bahawa ia tidak dapat berdiri seorang diri dan berasingan. Lambat laun ia patut mengadakan persefahaman dengan Britain dan rakyat di wilayah-wilayah Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei. Adalah terlalu awal untuk saya menyatakan bagaimana persefahaman yang lebih rapat ini dapat diusahakan, tetapi tidak dapat dielak lagi kita patut melihat ke hadapan terhadap matlamat ini dan ..... sebuah rancangan yang mana wilayah- wilayah ini dapat dibawakan dalam kerjasama politik dan ekonomi".
(Nik Anuar Nik Mahmud, 2005 hlm101)
Ucapan Tunku telah disambut baik oleh kerajaan British dan Perdana Menteri Britain, Harold Macmillan mengalu-alukan cadangan itu. Semasa menjawab soalan di Parlimen British pada 20 Jun 1961, beliau menyifatkan cadangan Tunku itu sebagai satu cadangan yang membina. Malahan, Macmillan telah menjemput Tunku menghadiri satu persidangan di London pada 20 hingga 23 September 1961 untuk merundingkannya dengan lebih lanjut. Sementara itu, satu rundingan juga diadakan di Singapura antara Gabenor Sarawak (Sir Alexander Waddell), Gabenor Sabah (Sir William Goode) dan Pesuruhjaya British di Brunei (D.C. White) dengan Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara, Lord Selkirk bagi membincangkan cadangan itu. Lord Selkirk kemudiannya bertolak ke London pada bulan Julai 1961 untuk melaporkan perbincangan itu kepada kerajaan British.
Dalam masa yang sama, ucapan Tunku mengenai cadangan Malaysia ini telah menimbulkan sensasi tersendiri di Borneo dan ia mula melahirkan pandangan-pandangan mengenai masa depan Borneo terutama dalam kemungkinan bergabung dengan Tanah Melayu. Dengan tiadanya pilihanraya, segala pandangan mengenai hal ini datang daripada anggota-anggota dalam Majlis Eksekutif dan Perundangan serta pemimpin-pemimpin masyarakat, dan reaksi pada tahap awal dilihat bersifat negatif. Malah pandangan dari pegawai-pegawai British sama ada di Sarawak dan North Borneo sendiri kurang meyakini mengenai cadangan gabungan dan mengatakan bahawa wilayah-wilayah ini belum bersedia untuk terlibat dalam bidang politik yang besar. Malahan Gabenor Sarawak dan North Borneo, William Goode dan Alex Waddell dilihat merupakan penentang utama dalam usaha gabungan Malaysia ini serta mencadangkan agar Sarawak dan North Borneo perlu terlebih dahulu untuk menyiapkan diri sebelum memandang kepada Tanah Melayu dan Singapura yang dilihat jauh ke hadapan dari berbagai sudut. Berdasarkan keadaan ini, North Borneo dan Sarawak dilihat masih tidak bersedia dari sudut politik bagi melalui proses perundingan yang sangat komplikated tersebut.
Cadangan penubuhan Malaysia telah menjadi isu yang diperkatakan oleh berbagai pertubuhan politik yang sedia ada di Sarawak seperti Sarawak United People‟s Party (SUPP) yang telah ditubuhkan pada bulan Jun 1959 dan Parti Negara Sarawak (PANAS) yang ditubuhkan pada bulan April 1960 dan dipimpin oleh Datu Bandar Abang Haji Mustapha. PANAS misalnya merasakan bahawa gabungan dengan Tanah Melayu merupakan perkembangan penting kepada orang Melayu di Sarawak, namun menegaskan bahawa wilayah-wilayah di Borneo adalah wajar untuk bergabung sebagai satu entiti dan bukannya tiga entiti yang terpisah dan konsep Malaysia boleh dilaksanakan selepas wilayah-wilayah di Borneo mencapai kerajaan sendiri serta membentuk Persekutuan Borneo.11 Meskipun demikian, PANAS dilihat lebih pro-Malaysia berbanding menentang cadangan ini. Di North Borneo pula, antara suara yang paling lantang menyuarakan pandangan mengenai Malaysia adalah Donald Stephens. Beliau merasakan bahawa North Borneo masih tidak bersedia untuk menyertai Malaysia dan menyertai Malaysia bermakna menukar status North Borneo daripada sebagai “koloni British” kepada “koloni Tanah Melayu‟. Suara-suara negatif mengenai cadangan Malaysia terhasil kesan daripada sifat diversity atau kepelbagaian di Borneo sama ada dari sudut politik, masyarakat mahupun pembangunan ekonomi serta perbezaan-perbezaan antara wilayah-wilayah berkaitan dengan Tanah Melayu dan Singapura. Perbezaan serta sifat diversiti ini dibimbangi akan menyebabkan wilayah-wilayah berkaitan hanya akan tenggelam, “dimakan” oleh Kuala Lumpur. Pemimpin North Borneo dan Sarawak merasakan gabungan yang dilakukan perlu untuk menepati kehendak dan keperluan mereka serta memastikan kepentingan North Borneo dan Sarawak tidak diketepikan. Suara-suara negative mengenai cadangan Malaysia masih terus kedengaran, termasuklah oleh Stephen Ningkan, pemimpin Sarawak National Party (SNAP).
Cadangan Malaysia juga melahirkan reaksi politik yang dramatic di North Borneo dan Sarawak apabila kepentingan-kepentingan kaum mula menjadi agenda utama kepada organisasi dan pertubuhan politik. Parti-parti berasaskan komunal menunjukkan tidak ada „sifat penyatuan‟ dimana setiap parti terpisah berdasarkan garisan etnik, kelas dan komunal. Inteligensia Melayu di Sarawak yang merasa tidak sabar dengan pendekatan konservatif pemimpin PANAS mengambil langkah drastik apabila keluar dan menubuhkan Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) yang menentang pandangan PANAS yang dilihat lebih pro-Malaysia yang disifatkan sebagai satu usaha untuk menjaga dan melindungi golongan kelas aristokrat konservatif dalam parti. Pada 10 April 1961, Sarawak National Party (SNAP) ditubuhkan yang merupakan sebuah parti yang majoritinya adalah orang Iban diikuti dengan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) yang diwujudkan oleh kalangan serpihan daripada PANAS. Pada asasnya hampir kesemua parti mengambil keputusan yang sama,
“opposed the Malaysia plan which they believed would perpetuate inter-ethnic inequalities in the Borneo Territories and would therefore be detrimental to the interests of the indigenous people”.
(Tan Tai Yong,2008 hlm 156)
Tunku Abdul Rahman, dalam usaha memberi keyakinan kepada North Borneo dan Sarawak terhadap cadangan Malaysia telah melakukan lawatan pada Julai 1960. Walau bagaimanapun, usaha ini dikatakan tidak menepati kehendak North Borneo dan Sarawak kerana
“he quite misjudged the temper of the Territories, spoke as if all non-Chinese in Borneo were Malays, and took an overbearing and uncompromising stance which alarmed opinion in North Borneo and Sarawak and may well have convinced both the Sultan and his people in Brunei that they should stay out of the Federation”.
(Anthony J. Stockwell, 1970)
Perkembangan-perkembangan ini dirasakan tidak akan membawa sebarang faedah dan keuntungan kepada cadangan Malaysia dan berikutan dari itu, pada bulan Oktober 1961, sewaktu berucap di Parlimen, Tunku telah menerima dan bersedia untuk memberikan kuasa istimewa kepada wilayah Borneo dalam hal ehwal immigrasi, kastam, Borneonisasi dan kawalan terhadap kepentingan rakyat.
5.2 Suruhanjaya Cobbold
Ketika, sejarah kemerdekaan Tanah Melayu berkait rapat dengan kewujudan Suruhanjaya Reid yang bertanggung jawab membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 dimana syor- syor yang dilakukan oleh suruhanjaya inilah yang kemudiannya diserapkan kedalam Perlembagaan Persekutuan 1957, Suruhanjaya Cobbold pula bertanggung jawab terhadap kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia pada 1963. Ia dipimpin oleh Lord Cobbold serta 5 anggota yang lain iaitu Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston yang dipilih oleh kerajaan United Kingdom dan Dato‟ Wong Pow Nee serta Muhammad Ghazali Shafie yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Tugas-tugas kewajipan suruhanjaya ini adalah,
Dengan memandang kepada perihal Kerajaan United Kingdom dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah bersetuju mengatakan bahawa memasokkan Borneo Utara [Sabah] dan Sarawak (bersama2 dengan lain2 negeri) ka-dalam Persekutuan Malaysia yang di-chadangkan itu ada-lah satu tujuan yang sangat elok untuk faedah ra‟ayat negeri2 yang berkenaan-
a) Menyiasat buah2 fikiran ra‟ayat Borneo Utara [Sabah] dan Sarawak berkenaan dengan hal ini; dan
b) Membuat shor2 sa-telah menimbangkan buah2 fikiran itu.
(Penyata Surohanjaya Penyiasat Borneo Utara dan Sarawak, 1962, hlm. V)
Suruhanjaya Cobbold yang bebas ini diwujudkan kesan daripada perjanjian Anglo-Malayan yang dilakukan pada bulan November 1961. Dalam masa yang sama, penubuhan suruhanjaya ini diluar dari jangkaan Tunku yang dikatakan tidak menjangka bahawa suruhanjaya akan bertindak untuk mengetahui sama ada masyarakat di Borneo berminat untuk menyertai Malaysia. Menyedari bahawa suruhanjaya ini sangat penting, Tunku telah meletakkan dua wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang dilihat mampu memenangi sebarang perbincangan dan tekanan mengenai Malaysia iaitu Dato Wong Pow Nee dan Ghazali Shafie. Malahan pemilihan Lord Cobbold sebagai pengerusi juga dilihat sebagai satu masalah. Meskipun kedudukan Lord Cobbold yang neutral kerana tidak mengetahui apa-apa mengenai Borneo selaku bekas gabenor Bank of England, namun ia mempunyai risiko kerana “…Lord Cobbold‟s inexperience and lack of knowledge was a major handicap for such an important enterprise” (Tai Yong Tan, 2008). Salah satu fakta menarik mengenai Suruhanjaya Cobbold ini adalah tiadanya wakil dari Borneo.
Dalam melaksanakan tugas-tugasnya, suruhanjaya berhadapan dengan berbagai tekanan dan suasana tegang membabitkan anggota-anggota suruhanjaya sendiri terutamanya wakil dari Persekutuan Tanah Melayu dengan pegawai-pegawai British di North Borneo dan Sarawak. Wakil dari Persekutuan Tanah Melayu merasakan bahawa pegawai-pegawai British telah member tekanan kepada masyarakat tempatan agar tidak menyertai Melaysia. Oleh kerana tidak ada satu bentuk perlembagaan yang jelas yang dikemukakan oleh suruhanjaya maka pegawai- pegawai British ini merasakan bahawa kedudukan orang tempatan akan terjejas dan keadaan ini menguntungkan Tanah Melayu. Suasana ini telah menibulkan kemarahan Tunku sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar yang mengencam tindakan pegawai-pegawai British tersebut.
Dalam melihat laporan suruhanjaya, terlihat dua keadaan yang berbeza. Wakil-wakil British merasakan bahawa “interim period‟ perlu dilakukan dalam tempoh antara tiga hingga tujuh tahun sebelum penyerahan dilakukan bagi mengelakkan berlakuknya sebarang bentuk kejutan dalam perubahan politik yang begitu drastik.. Dalam tempoh ini, disyorkan agar kerajaan persekutuan akan bertanggungjawab hanya terhadap hubungan luar, pertahanan dan hal-ehwal subversive dan keselamatan sementara kerajaan British akan terus bertanggung jawab dalam hal-ehwal kerajaan dan pentadbiran di North Borneo dan Sarawak. Keadaan ini menjelaskan bahawa pegawai-pegawai British akan terus kekal untuk menjadi pentadbir di North Borneo dan Sarawak termasuklah sebagai gabenor kedua-dua wilayah selepas pembentukan Malaysia. Pandangan ini sama sekali tidak diterima oleh Tunku yang menegaskan bahawa dengan adanya pegawai- pegawai British sebagai pentadbir utama di North Borneo dan Sarawak akan melemahkan penubuhan Malaysia yang hanya akan dilihat sebagai agenda colonial semata-mata dan ini akan membuka ruang kepada serangan berterusan pihak-pihak yang anti-Malaysia terutama pihak komunis.
Although the Commission pointed out that about twenty percent of the people of Sarawak and somewhat less in North Borneo were opposed to federation on any terms, unless preceded by independence and self-government, and that a further third of the populations would accept it only if sufficient safeguards were in place
– the Tunku translated this, in a speech on 9 August, that 80 per cent had agreed to the concept of Malaysia.
(Creating ‘Greater Malaysia’: Decolonization and the Politics of Merger, hlm. 166)
Rujukan
Malaya. Commission of Enquiry, North Borneo and Sarawak. (1962). Penyata Surohanjaya Penyiasat Borneo Utara dan Sarawak. Kuala Lumpur: Jabatan Chetak Kerajaan
Tai Yong Tan. (2008). Creating "Greater Malaysia": Decolonization and the Politics of Merger. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies
FCO 51/154, “The Origins and Formation of Malaysia”, 10 July 1970 dlm. Anthony J. Stockwell (ed.), Malaysia. British Documents on the End of Empire, Series B, Vol. 8, London: Stationary Office, 2004, hlm. 600-601.
Nik Anuar Nik Mahmud. (2005). Perjuangan Mencapai Kemerdekaan dan Penubuhan Malaysia.
No comments:
Post a Comment