5.8 Isu-isu Selepas Pembentukan Malaysia
5.1.1 Tuntutan Filipina ke atas Sabah
Dalam mencapai persetujuan antara pemimpin Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura, berlaku reaksi yang tidak menyenangkan terutamanya negara jiran Borneo Utara, iaitu Filipina yang mula menuntut hak ke atas Sabah bagi pihak waris Kesultanan Sulu setelah usaha Malaysia Solidarity Consultative Comittee (MSCC) menunjukkan adanya sokongan kepada rancangan penubuhan Malaysia. Namun begitu, Filipina mula merasa bimbang dan menghantar memorandum pada 24 Mei 1962 kepada Duta Filipina di London.
Walau bagaimanapun, tuntutan tersebut mendapat tindak balas yang negatif daripada pihak British dan mengingatkan bahawa sebarang tuntutan ke atas Sabah, dari Kerajaan Filipina ataupun orang perseorangan akan ditentang oleh Kerajaan British. Namun, Kerajaan Filipina tidak berputus asa dan sekali lagi menghantar surat kepada Kerajaan British pada 22 Jun 1962 bagi menuntut hak kedaulatannya ke atas Sabah sebagai wakil dan pengganti kepada Kesultanan Sulu.
Menurut Mohd Ariff Othman (1970) Filipina mendakwa bahawa Sultan Sulu tidak pernah menjual Sabah kepada pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara, sebaliknya hanya memajakkannya dengan bayaran sebanyak $5000 setahun. Kawasan yang dituntut meliputi keluasan 29,388 batu persegi meliputi Pulau Banggi dan Pulau Balambangan yang telah diserahkan kepada Baron Von Overback dan Alfred Dent suatu ketika dahulu.
Bagi pihak British pula, penyerahan tersebut adalah sebagai penyerahan hak dan kedaulatan. Untuk menyelesaikan perkara ini, satu perundingan telah diadakan di London pada 28 Januari 1963 di antara Naib Presiden Filipina, Emmanuel Pelaez dengan Setiausaha Luar British, Lord Home. Bagaimanapun, rundingan tersebut menemui kegagalan disebabkan pihak British yang tidak mahu mengakui kedaulatan Filipina ke atas Sabah.
Sebelum itu, pada Ogos 1962 Filipina pernah menghantar surat kepada Tunku Abdul Rahman berhubung tuntutannya ke atas Sabah. Tetapi Tunku menegaskan bahawa perkara tersebut adalah pertelingkahan di antara Filipina dengan Kerajaan British dan beliau tidak boleh campur tangan selagi Sabah tidak berada di bawah Persekutuan Malaysia.
Disebabkan gagal dalam usaha untuk menuntut Sabah, Filipina telah mengambil langkah lain dengan membuat propaganda dan menuduh bahawa rancangan Malaysia merupakan rancangan British untuk menjalankan penjajahan cara baharu. Perkara ini dibuat secara terbuka oleh Presiden Macapagal semasa menghadiri Kongres Filipina pada 28 Januari 1963. Perbuatan ini telah menaikkan kemarahan pemimpin-pemimpin Parti Perikatan di Sabah dan telah mengambil tindakan menghantar surat pada 16 Oktober 1962 kepada Presiden Macapagal bagi menafikan perkara tersebut.
Sekali lagi tuntutan cuba dibuat pada 18 September 1968, Presiden Ferdinand Marcos menandatangani Bill 954, Dewan Senat Filipina untuk menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan terhadap tuntutan waris Kesultanan Sulu dan penduduk selatan Filipina. Menurut Tregonning (1970) Keadaan ini menunjukkan bahawa Marcos berusaha meraih populariti politiknya. Bill 954 yang dikemukakannya menyatakan bahawa “Republik Filipina dengan ini menuntut hak kekuasaan dan kedaulatan terhadap Sabah”.
Kenyataan Marcos tentunya mendapat reaksi serta-merta daripada banyak pihak, terutama Malaysia. Menurut Nik Anuar (2001) kuasa kolonial yang pernah menduduki wilayah Sabah, iaitu Britain turut terheret dalam perdebatan tentang tuntutan Filipina. Kerajaan British dalam reaksi konsisten semenjak awal menegaskan bahawa Sabah milik Malaysia yang sah. Bahkan British berpendapat bahawa pemilikan terhadap Sabah bersifat serahan (secured in for perpetuity) dan bukannya pajakan.
5.1.2 Tarikh Kemerdekaan Sabah dan Sarawak
Di Sarawak, kerajaan negeri menganjurkan satu acara rasmi pada hari pembebasan Sarawak (Sarawak’s Liberation Day) pada 22 Julai 1963 ketika Gabenor penjajah yang terakhir, Sir Alexander Waddel meninggalkan Sarawak dengan membawa bendera Union Jack bersamanya.
Satu acara lakonan semula zaman kolonial di buat di Pangkalan Batu di Kuching Watefront. Andrew J. Harding dan Chin, J. (2014) mengatakan bahawa lakonan semula tersebut menunjukkan Gabenor Waddel menaiki sampan dari Astana menyeberangi Sungai Sarawak dari Pangkalan Batu untuk menyerahkan tugasnya secara rasmi kepada Tuan Haji Openg yang menjadi Yang di-Pertua Sarawak (Gabenor) yang pertama. Peristiwa ini menunjukkan pengakhiran kepada pemerintahan kolonial.
Lakonan tersebut juga melibatkan seorang pelakon Kaukasian untuk memegang watak Waddel dan para pengiringnya berjalan ke arah Square Tower di Waterfront Kuching di mana bendera Union Jack diturunkan dan bendera kemerdekaan Sarawak dikibarkan.
Di Sabah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pergerakan Solidariti Belia Sabah menganjurkan acara pada 31 Ogos 2013 untuk mengingatkan masyarakat Sabah bahawa Sabah telah mencapai kemerdekaan 16 hari awal sebelum Persekutuan Malaysia diisytihar pada 16 September 1963. Menurut Andrew J. Harding dan Chin, J. (2014) pada 31 Ogos 1963, Sir William Goode, Gabenor terakhir British di Borneo Utara meninggalkan pelabuhan Jesselton, menandakan berakhirnya penjajahan kolonial British.
5.1.3 Integrasi Nasional
Integrasi nasional merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah daripada segi budaya, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994) integrasi bermaksud penggabungan atau pergabungan dua atau lebih, beberapa kaum menjadi satu kesatuan. Manakala, integrasi nasional pula membawa maksud satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok etnik dalam masyarakat melalui pengenalan atau pengwujudan satu identiti yang sama.
Antara faktor penghalang integrasi ialah sifat perkauman, perbezaan sosioekonomi antara kaum, perbezaan kebudayaan antara kaum dan juga perbezaan tempat tinggal. Berikut merupakan faktor yang dapat diambil daripada peristiwa perkauman yang pernah berlaku di Malaysia suatu ketika dahulu.
Untuk menjayakan integrasi nasional di Malaysia, beberapa strategi pelaksanaan telah dibuat. Antaranya ialah:
a) Melalui Perlembagaan Persekutuan
Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan menyentuh kesamarataan di sisi undang-undang iaitu semua orang berhak mendapat perlindungan di sisi undang-undang.
b) Akta Hasutan 1970
Menurut Wan Norhasniah Wan Husin (2012) Akta Hasutan 1948 pindaan 1970 menghalang masyarakat membangkitkan dan mempersoalkan isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan integrasi nasional seperti kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak kerakyatan Bumiputera, agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
c) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960
Kerajaan diberi kuasa untuk menahan sesiapa yang disyaki menimbulkan masalah dalam negara dan boleh ditahan selama dua tahun tanpa dibicarakan.
d) Agensi Kerajaan
Penubuhan agensi kerajaan untuk membantu orang Melayu bergiat dalam bidang perniagaan selain menetapkan kuota tertentu seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), UDA dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).
e) Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Pembentukan identiti nasional berdasarkan kebudayaan Melayu dengan menerima unsur-unsur kebudayaan lain di negara ini.
f) Bahasa Melayu
Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan selain digunakan semasa berurusan dengan kerajaan.
g) Sukatan Pelajaran yang Sama
Pembelajaran sukatan pelajaran yang sama dan dapat menyemai semangat patriotisme dan persefahaman antara kaum
h) Sekolah Wawasan
Membolehkan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan berkongsi kemudahan bagi mewujudkan hubungan erat antara pelajar pelbagai kaum
Rujukan
Andrew J. Harding dan James Chin. (2014). 50 Years of Malasia: Federalism Revisited. Singapura: Marshall Cavendish International (Asia) Private Limited.
K.G. Tregonning. (1970).The Philippines Claim to Sabah. Journal of the Malaysian Branch Royal Asiatic Society, 43(1), 161-170.
Kamus Dewan Edisi Ketiga. (1994). Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Ariff Othman. (1970). The Philippines claim to Sabah: Its historical legal & political implications. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Nik Anuar Nik Mahmud. (2001). Tuntutan Filipina ke atas Sabah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Wan Norhasniah Wan Husin. (2012). Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik Melayu-Cina. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
No comments:
Post a Comment